SIBU: Cara penyebaran ilmu pengetahuan di sekolah kawasan luar bandar dapat diubah dengan teknologi perisian komputer yang bersesuaian dengan tahap pembelajaran.Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, penggunaan perisian di peringkat sekolah luar bandar dapat membantu mempertingkatkan keupayaan pembelajaran pelajar sekolah luar bandar.

“Keupayaan untuk mendapatkan guru yang berkualiti baik adalah sangat terhad sekali.
“Oleh itu, kewujudan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan pelbagai perisian komputer dapat membantu guru-guru di sekolah luar bandar mencari kaedah pembelajaran yang lebih baik,” jelasnya.
Taib berkata demikian ketika merasmikan Program Wadah Kerangka Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk Pembangunan Kapasiti Insan yang berlangsung di SK St Alphonsus, Julau, semalam.
Katanya, Pengerusi Sarawak Rural Broadband Initiative (SRBI) Datuk Abdul Hamed Sepawi telah menjalin kerjasama dengan Cambridge University untuk membuat reka bentuk perisian.
“Setakat ini, perisian tersebut dapat dijalankan di kawasan Oya, Mukah dan lain-lain.
“Saya berharap jika ini didapati oleh kerajaan pusat akan kebaikan penggunaannya, kemungkinan dapat digunakan di kawasan luar bandar di Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujar Taib.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ia adalah bergantung kepada keputusan kerajaan pusat.
“Penyebaran ilmu pengetahuan di kawasan luar Bandar adalah satu perkara yang sangat penting.
“Dunia ini sangat luas dan terdapat teknik-teknik mengajar dengan model-model perisian telah diciptakan untuk memudahkan cara kita mengajar anak-anak,” ujar beliau.
Katanya, penggunaan kesemua perisian dapat disesuaikan dengan keperluan keadaan negeri.
“Maka, saya percaya cara kerja guru masa kini akan berubah dan mereka tidak akan terpaksa menggunakan teknik pengajaran secara hafazan, sebaliknya dapat diubahkan dengan sistem komputer,” jelasnya.
Sehubungan itu, Taib berkata, kerajaan negeri berharap kerajaan pusat dapat bekerjasama untuk menghubungkan pelajar dengan menggunakan kemudahan Internet di luar bandar.

Menurut Taib, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM500 juta bagi memperkasakan penggunaan infrastruktur komunikasi di kawasan luar bandar.
Pada majlis yang sama, Taib turut menyampaikan pengiktirafan usaha sama antarabangsa dengan Intel Malaysia, University of Cambridge International Examinations (CIE) dan One-Laptop-Per-Child/Massachusetts Institute of Technology (MIT) Media Lab dan melancarkan kempen kesedaran ‘Children Online Proctection’.

Ketua Menteri turut melawat ke Rumah Jana Sawing di Batu Matup, Julau bagi menyaksikan demonstrasi oleh komuniti rumah panjang tentang penggunaan ICT dalam aktiviti seharian.
Dalam majlis berkenaan, Taib turut menyampaikan geran bernilai RM200,000 bagi projek pembaikan atap Rumah Jana Sawing.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Dato Sri William Mawan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, wakil Setiausaha Kerajaan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perancangan dan Pembangunan) Datu Abdul Ghafur Shariff, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Mohd Sharil Mohd Tarmizi dan Pengerusi Sarawak Rural Broadband Initiative (SRBI) Datuk Abdul Hamed Sepawi turut hadir.
Borneo Post – http://www.theborneopost.com/?p=62607








